USANA Merubah Hidup Jeremy
Kisah Kejayaan Dr Zaifuddin
Lulusan PhD pilih MLM untuk capai impian
BUKAN mudah untuk golongan berpendidikan tinggi, apatah lagi memiliki kerjaya yang begitu kukuh menerima konsep pemasaran berbilang tingkat (MLM) di dalam kotak pemikiran mereka.
Namun, tidak bagi Dr Zaifuddin Md Rasip yang memiliki kelulusan ijazah kedoktoran (PhD) dalam pengajian teologi, pengkhususan dalam Pengajian Islam dan Undang-undang Islam.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Pembantu Profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan gaji bulanan yang agak stabil, telah menjadikan MLM sebagai kerjaya yang mampu merealisasikan impian hidupnya.
Meskipun pada peringkat permulaannya agak skeptikal dan menolak, setelah 10 tahun berkhidmat di UIAM, Dr Zaifuddin yang fasih berbahasa Arab itu nekad meletak jawatan pada tahun 2004 semata-mata untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang MLM.
Bagaimana stigmanya terhadap MLM boleh berubah? Ketika berkunjung ke kediamannya baru-baru ini, beliau memberitahu: “Saya telah mengkaji MLM dari pelbagai sudut ketika berada di UIAM lagi."
"Saya tertarik dengan MLM disebabkan oleh faktor kebebasan kewangan dan kebebasan masa.”
Tambah Dr Zaifuddin, buku-buku seperti Copy Cat Marketing 101, Who Stole The American Dream dan The Business School, telah membuka mindanya untuk menerima konsep MLM.
“Selain buku-buku tersebut, Paul Zane Pilzer, seorang ekonomis, seorang profesor dan bekas penasihat kepada dua orang Presiden Amerika Syarikat menjangka bahawa industri yang cukup berkembang pesat di abad ini adalah MLM. Semua ini telah membuka minda saya untuk memilih MLM sebagai kerjaya,” jelasnya kepada majalah SUKSES ketika diwawancara di kediamannya.
Pada tahun 2001, Dr Zaifuddin menyertai sebuah syarikat MLM. Ternyata ciri-ciri keusahawanannya terserlah apabila berjaya mencapai tahap tertinggi dalam syarikat berkenaan dengan pendapatan lima angka setiap bulan.
Tidak cukup dengan itu, empat orang jaringannya turut mencapai tahap tertinggi.
Bagaimanapun, pada 16 Januari 2007, beliau menghantar surat ‘resign’ dan meninggalkan syarikat berkenaan dalam keadaan pendapatannya masih lagi kekal lima angka manakala seorang lagi jaringannya mencapai tahap tertinggi.
Beliau nekad berbuat demikian untuk menyertai USANA pada 17 Januari 2007.
“Rekod saya di Kuala Lumpur adalah yang kedua tertingi dalam syarikat lama. Ketika itu saya baru balik dari San Francisco untuk meraikan ulang tahun syarikat berkenaan.
"Daripada 96 orang delegasi Malaysia yang pergi, saya di kalangan 13 orang yang dapat anugerah ‘The Best Distributor’ di Malaysia.
"Tetapi kenapa saya menyertai USANA? Saya kenal USANA sebelum saya menyertai syarikat lama. Dalam kajian saya terhadap MLM, USANA adalah syarikat yang paling top mengikut pandangan badan penyelidikan bebas. Ini salah satu faktor kenapa saya pilih USANA.
"Yang kedua adalah dari segi kualiti produknya yang dicipta oleh seorang saintis. Kalau mengikut pandangan pihak ketiga itu menunjukkan produk USANA adalah yang terbaik. Dan yang ketiga adalah faktor pelan pemasaran yang berbeza dari yang lain,” jelas ayah kepada lima orang anak ini.
Sebaik sahaja menyertai USANA, beliau tidak menoleh ke belakang lagi dan memberi sepenuh perhatian untuk mengembangkan perniagaannya. Bermula dari kosong, beliau akhirnya berjaya meraih pendapatan lima angka dalam bulan pertama penyertaannya.
Dalam tempoh enam bulan, Dr Zaifuddim berjaya mencapai tahap PENGARAH EMAS pada 7 Julai 2007. Pendapatan yang beliau peroleh ketika itu lima kali ganda melebihi gajinya ketika menjadi Pembantu Profesor di UIAM. Beliau meningkat dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi.
Beliau juga telah berjaya mencapai tahap PENGARAH DELIMA. Beliau percaya pada kerja keras mendatangkan hasil yang lumayan. Untuk membuktikannya, beliau mensasarkan untuk mencapai tahap Intan pada tahun 2008.
Ketika ditanya mengenai rahsia kejayaan, Dr. Zaifuddin berkata: “Untuk berjaya, ada empat langkah yang selalu saya pegang. Langkah pertama adalah BIG DREAM. Kita mesti ada impian yang besar. Langkah kedua adalah FOKUS. Untuk mencapai impian yang besar, kita mesti fokus.”
“Untuk mendapatkan fokus, mesti ada langkah yang ketiga iaitu KESUNGGUHAN. Apabila sudah bersungguh-sungguh langkah terakhir adalah DOA. Banyakkan berdoa sebab yang membuka pintu hati prospek yang kita temui adalah Tuhan, kita hanya menyampaikan sahaja. Inilah prinsip yang saya pegang,” tegasnya mengakhiri sesi temubual tersebut.
Dipetik dari Majalah SUKSES Versi Online
http://www.sukses.my/v2/index.php?option=com_content&task=view&id=58&Itemid=53






